Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengatakan:
“Ya,
tiada siapa yang bersetuju dengan demonstrasi ganas. Rakyat diharapkan
keluar ke jalan dengan aman sebagai tanda bantahan atas kezaliman
rejim-rejim mereka. Ia salah satu dari menzahirkan bantahan terhadap
kemungkaran. Dalam hadis seorang lelaki datang mengadu kepada kepada
Rasulullah s.a.w, katanya:
“Sesungguhnya
jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan
letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak
di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku
kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata:
“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu,
jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.
(Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir
menilainya sebagai sahih).
Demikian,
Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan kezaliman dengan
mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai boleh menakutkan
orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita boleh bertindak
sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih besar dan sukar
disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan bantahan di jalan yang
lebih hebat diperlukan. Apa yang penting, penunjuk perasaan tidak boleh
menumpahkan darah sesama umat Islam dan rakyat, juga tidak merosakkan
harta awam dan mereka yang tidak bersalah.
Dunia
Arab dan Islam mesti berubah. Eropah telah lama menyingkirkan pemimpin
mereka yang korupsi dan kuku besi. Kadang-kala hak binatang yang
dinikmati oleh Barat lebih baik dari hak manusia yang hidup di bawah
rejim-rejim yang berkuasa di Dunia Arab dan Islam. Jatuh! Jatuh!
Jatuhlah segala rejim!”
Di tempat lain, beliau turut menegaskan halalnya demonstrasi jalanan dengan hadis tersebut sebagaimana dalam video berikut, http://youtu.be/QOKenlEKAbo
Komentar dan bantahan:
[Pertama] Hadis tersebut adalah sebagaimana berikut:
قال
رجل يا رسول الله، إن لي جاراً يؤذيني، فقال: "انطلق. فأخرج متاعك إلى
الطريق". فانطلق فأخرج متاعه، فاجتمع الناس عليه، فقالوا: ما شأنك؟ قال: لي
جار يؤذيني، فذكرت للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: "انطلق. فاخرج متاعك
إلى الطريق" فجعلوا يقولون: اللهم! العنه، اللهمّ أخزه. فبلغه، فأتاه فقال:
ارجع إلى منزلك، فوالله لا أوذيك.
Seorang
lelaki datang mengadu kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah,
sesungguhnya jiranku menyakitiku.” Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya
di jalan.” Maka lelaki itu pun pulang dan mengambil barang-barangnya
lalu meletakkannya di jalan. Maka orang ramai pun berkumpul di
sekitarnya sambil bertanya, “Apa yang berlaku kepadamu?” Dia menjawab,
“Jiranku menyakitiku lalu aku ceritakannya kepada Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam. Beliau pun berkata, “Pulanglah, dan keluarkan
barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.”” Maka mereka
(orang-orang di situ) pun berkata, “Ya Allah laknatilah dan hinalah
dia.” Rupanya dalam masa yang sama perkara tersebut didengari oleh
jirannya tersebut. Maka ia pun segera menemuinya dan berkata,
“Kembalilah ke rumahmu, demi Allah aku tidak akan menyakitimu lagi.”
Hadis
ini diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 124
dalam bab keluhan jiran tetangga. Musnad al-Bazzar, no. 8344. Dan oleh
imam al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 7302. Hadis ini dinilai sahih
antaranya oleh al-Hakim, Syaikh Ahmad Syakir, dan al-Albani)
[Kedua]
Cara faham yang diambil oleh Dr. Asri terhadap hadis tersebut termasuk
sebahagian dari bentuk-bentuk qiyas yang amat jauh menyimpang. Hadis
tersebut menyentuh adab dan hubungan sesama masyarakat, tetapi Dr. Asri
menggunakannya untuk isu hubungan terhadap pemerintah.
[Ketiga]
Menggunakan hadis ini untuk diqiyaskan dengan perbuatan demonstrasi
jalanan terhadap pemerintah adalah sama-sekali tidak tepat dan
keterlaluan. Sikap beliau tersebut termasuk sebahagian dari
bentuk-bentuk takalluf terhadap dalil, iaitu memaksakan nash untuk
mengikuti kehendaknya. Sedangkan hadis tersebut berbicara soal lain yang
sama sekali tidak menyentuh isu demonstrasi jalanan mahupun memprotes
pemerintah. Yang mana apa yang difahami dari hadis tersebut hanyalah
Nabi memerintahkan si pengadu tersebut mengeluarkan barang-barangnya ke
jalan. Itu sahaja! Tidak ada sama sekali perintah supaya berdemonstrasi
mahupun tunjuk perasaan.
[Keempat]
Suatu hal yang perlu difahami bahawa soal bermu’amalah terhadap
pemerintah itu telah ada dalil-dalilnya yang bersifat khusus lagi
tersendiri. Ini membezakan kaedah mu’amalah atau hubungan di antara
jiran dengan pemerintah. Atau hubungan dalam kalangan awam secara umum
dengan pemerintah secara khusus.
Seandainya
kita mengedepankan hadis ini yang merujuk situasi umum hubungan sesama
jiran, jadi di mana pula kita akan lemparkan kekhususan hadis-hadis
berkaitan mu’amalah terhadap para pemerintah? Apakah kerana satu hadis
yang bersifat umum yang tiada kaitan dengan pemerintah tersebut mampu
menjadi nash yang jauh lebih kuat sehingga mampu memalingkan sekumpulan
hadis-hadis lain yang bersifat khusus?
Bukankah
ini akan menimbulkan pelbagai bentuk pertembungan di antara satu hadis
dengan sekumpulan hadis yang lain? Nah, bukankah ini jelas sebuah kaedah
yang bathil? Menaikkan satu hadis yang mendukung hujahannya dan
mendiamkan sekumpulan besar hadis-hadis yang menentang pegangannya?
[Kelima]
Kaedah faham yang diambil Dr. Asri bertembung dengan banyak dalil-dalil
yang lain. Ini akan dijelaskan pada point-point berikutnya.
[Keenam]
Bertentangan dengan adab dan praktik menasihati pemerintah anjuran
nabawi. Islam tidak pernah mendidik umatnya agar keluar melakukan
demonstrasi terhadap pemerintah, biarpun pemerintah yang kafir.
Demonstrasi jalanan tidak pernah berlaku di zaman Nabi mahupun sahabat.
Tidak pernah disuruh atau dicontohkan oleh mereka.
Bahkan
mengkritik atau mencanang keburukan pemerintah di mimbar-mimbar saja
sudah dilarang keras oleh para salaf, inikan pula membuat bantahan dan
demonstrasi di jalan-jalan?
[Ketujuh]
Apa yang diajar oleh Rasulullah dan para sahabat adalah menasihati,
membimbing, dan membantu pemerintah dalam hal-hal makruf. Memberi
nasihat dan menegur kesalahan secara berdepan. Bukan secara demonstrasi
dan tunjuk perasaan di jalan-jalan.
Walaupun
pemerintah itu zalim sekalipun, Nabi tetap tidak pernah membenarkan
agar diadakan demonstrasi-demonstrasi jalanan. Sekiranya nasihat dan
cadangan tidak diterima, maka sesungguhnya kita telah menyampaikan, dan
nasihat-nasihat umum tetap berlangsung untuk manfaat kaum muslimin. Ini
telah penulis jelaskan secara khusus lagi terperinci dalam tulisan
berikut, http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2010/05/174-fiqh-menasihati-para-pemimpin.html
[Kelapan]
Cara faham Dr. Asri bertentangan dengan hadis-hadis yang memerintahkan
agar taat kepada pemerintah dalam hal-hal yang makruf. Bahkan ia
termasuk kaedah yang telah menjadi maklum di sisi ahli sunnah
wal-jama’ah. Ini antaranya sebagaimana ditegaskan imam Muhammad
‘Abdurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah:
الإمام إذا أمر بمندوب أو مباح وجب
“Apabila
seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah
(harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)
Dari
itu, bukankah undang-undang jalan raya, undang-undang lalu lintas,
undang-undang larangan berdemonstrasi di jalan-jalan raya dan
seumpamanya termasuk hal-hal yang makruf. Kalau bukan wajib sekalipun
kerana tidak datang secara khusus dari wahyu, maka bukankah ia termasuk
hal-hal yang mubah (harus) yang memiliki maslahah umum dan wajib
ditaati. Sebagaimana kaedah dan prinsip ahli sunnah tadi, setiap
perintah dari pemerintah yang mubah lagi memiliki maslahah dan kebaikan
awam, maka wajib ditaati.
[Kesembilan]
Cara faham Dr. Asri bertentangan dengan hadis yang menegaskan berkaitan
hak-hak jalan. Ini telah penulis jelaskan dalam artikel khas di sini, http://an-nawawi.blogspot.com/2010/10/amalan-demonstrasi-bukan-ajaran-islam.html
[Kesepuluh]
Hadis yang digunakan oleh Dr. Asri tersebut sama sekali tidak mengajar
tunjuk perasaan, demonstrasi, mahupun berkumpul-kumpul di jalan-jalan
bagi membuat protes mahupun bantahan terhadap pemerintah.
Bahkan
hadis tersebut memberi isyarat jelas, apabila menghadapi permasalahan
sesama masyarakat (jiran tetangga) agar mendapatkan nasihat kepada
golongan berautoriti, iaitu orang yang yang berkuasa.
Berkumpulnya
manusia dalam hadis tersebut bukanlah suatu yang dirancang dan
disengajakan mahupun diperintahkan oleh Rasulullah. Tetapi ia berlaku
tanpa sengaja kerana melihat salah seorang tetangganya meletakkan
barang-barang di jalanan.
Sebenarnya
ini hampir sama seperti apabila berlaku kemalangan di jalan raya, maka
ramailah orang yang akan memperlahankan kenderaan untuk sambil melihat
kejadian sehingga mengakibatkan jalan sesak.
Pada
hari ini, untuk meletakkan barang-barang di jalan-jalan, maka ia tidak
boleh dilakukan sewenang-wenangnya, kerana jalan-jalan kita memiliki
undang-undang dan ada hak-haknya bagi kemaslahatan bersama. Untuk
memasang khemah kenduri kahwin sendiri pun perlu mendapat kebenaran dari
beberapa pihak tertentu, inikan pula mahu demonstrasi?!
Sekiranya,
setiap orang melaungkan hak keinginan masing-masing, nescaya nanti
masing-masing orang akan bersuka ria di tengah-tengah jalan raya atas
alasan hak berhimpun dan berdemonstrasi! Maka tidak mustahil akan ada
yang mahu baring-baring di jalanan, main bola di jalan, duduk-duduk di
jalan-jalan, meminta-minta sedekah di jalan-jalan, makan-makan, bahkan
mungkin ada yang ingin berniaga di jalan-jalan?! Alasannya, “Kami ada
hak untuk berhimpun secara aman!”
Dari
sini sahaja telah jelas menunjukkan cara faham Dr. Asri ini sangat
besar pertentangannya dengan waqi’ dan keadaan semasa pada hari ini.
Bukankah Dr. Asri selalu mengajak masyarakat mengikuti realiti agar
tidak jumud dan literal dalam memahami nash! Jadi, buktikan!
Oleh
itu, jangan hanya fikir hak diri sendiri, fikirkan sama hak-hak orang
lain serta pengguna lain. Jangan kerana alasan mahu memprotes atau
menjatuhkan pemerintah zalim, lalu kalian pula berbuat zalim ke atas
orang lain! Bahkan zalim ke atas dalil-dalil agama dengan sebab
penyelewengan pena-pena kalian!
Ingatlah, korupsi hadis jauh lebih bahaya dari korupsi wang, bahkan korupsi hadis jauh lebih zalim berbanding korupsi harta!
Maka di sini saya nasihatkan, janganlah menjadi pemanipulasi hadis hanya kerana diri punya gelar Dr. Dan PhD.!
[Kesebelas]
Lebih berseberangan dengan kaedah faham hadis di atas, banyak
hadis-hadis lain yang mengajarkan bagaimana seharusnya kita menjaga
hubungan terhadap pemerintah Islam.
Islam
mengajar mentaati pemerintah dalam hal-hal yang makruf dan tidak taat
dalam hal-hal yang mungkar. Dan Islam juga mengajar kita agar tidak
merampas atau menumbangkan kerusi kepimpinan para pemerintah yang
menaungi kita selagi mana mereka (pemerintah) masih muslim dan
mendirikan solat. Prinsip ini tidak hanya diaplikasikan pada zaman-zaman
pemerintah Khulafa al-Rasyidin, Dinasti Umayyah, ‘Abbasiyyah, mahupun
zaman demokrasi hari ini, bahkan sehingga sepanjang zaman selagi masih
ada pemerintah Islam. Perincian hal ini telah penulis bentangkan di
sini, http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2010/08/125-bagaimana-ahlus-sunnah-wal-jamaah.html
[Kedua belas]
Setakat carian dan semakkan, tidak ditemui ada golongan salaf
menggunakan atau memahami hadis ini dalam rangka dalil demonstrasi
jalanan sebagaimana difahami Dr. Asri. Maka bukankah ini termasuk
hal-hal yang baru lagi berbau bid’ah?
Wallahu a’lam...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar