Misteri Surah Yasin
Sebahagian
umat Islam di negara kita hari ini apabila membaca al-Qur’an,
kebiasaannya mereka akan lebih sinonim, kenal, dan rapat dengan surah
Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Sehingga ada hari-hari khusus
bagi membaca dan mengamalkan surah Yasin ini.
Surah
Yasin juga sinonim dengan malam Jumaat, sehingga diadakan majlis-majlis
khas bacaan berjama’ah dari rumah ke rumah dan kenduri makan-makan.
Persoalannya,
kenapa tidak surah lain dan hanya surah Yasin? Kenapa tidak surah
al-Baqarah, atau Ali ‘Imran, atau al-Mu’minuun, atau ar-Rahman, atau
rangkaian surah-surah dalam Juz ‘Amma seperti an-Naba’, al-Fajr, atau
al-Kaafiruun, atau al-Ikhlas misalnya? Kenapa Mesti pula hari Juma’at?
Selain
itu, surah Yasin turut sering dikaitkan dengan pelbagai misteri
lainnya. Seperti untuk mencari barang yang hilang, untuk mengiringi
orang mati, untuk membuat “air Yasin”, bacaan ketika masuk rumah baru,
untuk memudahkan jodoh, untuk mengirimkan pahala kepada orang mati,
untuk sambutan majlis-majlis tertentu seperti nisfu Sya'ban dan
seumpamanya yang selainnya.
Malah
surah Yasin juga telah pun dibukukan dan diterjemahkan secara
berasingan menjadi buku-buku khusus seperti buku bersaiz poket, buku
cenderamata, buku zikir, dan turut dimasukkan ke dalam pakej tahlilan.
Tidak
pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya ketetapan bagi Surah Yasin
seperti ini? Dari al-Qur’an? Dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wa Sallam? Atau dari amalan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in?
Anjuran Membaca al-Qur'an
Jika
yang dimaksudkan adalah galakkan dalam membaca al-Qur’an, maka di sana
terdapat anjuran yang banyak tanpa ditentukan surah yang mana serta
tidak juga dikhususkan dengan hari yang mana. Antaranya sebagaimana
sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ
أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Sesiapa
membaca satu huruf dari Kitabullah (al-Qur’an), maka baginya satu
pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi
sepuluh kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan
tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis
Riwayat at-Tirmidzi, 10/153, no. 2835)
Juga sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ
وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ
شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
“Orang
yang mahir membaca al-Qur’an, maka kedudukannya di akhirat ditemani
oleh para malaikat yang mulia. Dan orang yang berusaha membaca al-Qur’an
dengan gagap (tersangkut-sangkut), ia sukar dalam membacanya, maka ia
mendapat dua pahala.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/219, no. 1329)
Tapi persoalannya, kenapa ramai yang mengkhususkan hanya surah Yasin, dan tidak surah yang lain?
Fadhilat Surah Yasin
Sebenarnya
Surah Yasin adalah sama pentingnya sebagaimana surah-surah yang
lainnya. Ia mengandungi ayat-ayat Allah sebagaimana surah-surah lain.
Membacanya termasuk ke dalam keumuman dalil-dalil anjuran membaca
al-Qur’an sebagaimana membaca surah-surah yang lain juga. Tiada fadhilat
khusus bagi surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya.
Para
ulama hadis menjelaskan bahawa hadis-hadis berkaitan fadhilat Yasin
tidak terlepas sama ada dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Maksudnya,
tiada dalil yang sahih menetapkan fadhilat surah Yasin secara
khusus.Sebagai contoh, di antara hadis yang popular tentang surah Yasin
ini adalah hadis Qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an). Riwayat
hadis tersebut adalah sebagaimana berikut:
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ قَالَا حَدَّثَنَا
حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ عَنْ الْحَسَنِ بْنِ
صَالِحٍ عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ
قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ
قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ
مَرَّاتٍ
Telah
mengkhabarkan kepada kami, Qutaibah dan Sufyan B. Waqiq. Daripada
Humaid B. 'Abdurrahman ar-Ru'asi, daripada Hasan B. Soleh, daripada
Harun Abi Muhammad, daripada Muqatil B. Hayyan, daripada Qotadah,
daripada Anas (bahawasanya):
Nabi
Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu
itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah Yasin. Sesiapa yang
membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu
seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.”
Hadis
ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no.
2812, Bab Fadhail al-Qur’an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no.
3479.
Setelah
Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) membawakan hadis ini,
beliau pun berkata, “Hadis ini gharib (asing, tidak dikenali). Pada
sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad, beliau seorang yang majhul (tidak
dikenali). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhaif.”
(Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadha’il al-Qur'an)
Kalaupun
sahih hadis ini, maka ia tetap bukan dalil untuk mengkhususkan surah
Yasin dengan pengkhususan-pengkhususan tertentu seperti bacaan khas
malam Juma’at, untuk menjampi air, dan sebagainya.
Bukan Untuk Orang Mati
Surah
Yasin juga sering dikaitkan dengan kematian. Dalam perkara ini terdapat
beberapa hadis tetapi ianya tidak lepas dari kelemahan atau kepalsuan
(maudhu’). Di antara hadisnya adalah sebagaimana yang datang dari jalan
(sanad) Sulaiman at-Taimi, daripada Abu ‘Utsman (bukan an-Nahdi),
daripada ayahnya, daripada Ma’qil B. Yasar, beliau mengatakan,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس
“Bacakanlah ke atas mereka yang mati surah Yasin.”Atau:
اقْرَءُوا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ
“Bacakanlah
Yasin ke atas mereka yang mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud,
an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Rujuk: Talkhis
al-Habir oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, 2/244)
Hadis
ini lemah dengan beberapa sebab sebagaimana dinyatakan oleh para ulama
hadis, antaranya pada sanadnya terdapat perawi bernama Abu ‘Utsman dan
ayahnya. Mereka ini adalah perawi yang majhul (tidak dikenali). Hadis
ini juga dikategorikan sebagai hadis mudhtharib, iaitu tidak kukuh
sanadnya
Di
antara ulama hadis yang menegaskan kelemahan hadis ini adalah seperti
Imam ad-Daruquthni (Wafat: 285H), Abu Bakar Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H),
an-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnul Qaththan (Wafat: 813H), al-Hafiz Ibnu
Hajar (Wafat: 852H), al-Albani dan ramai lagi selainnya. (lihat: Ibnu
Hajar, Talkhis al-Habir, 2/244. An-Nawawi, al-Adzkar, m/s. 122.
Al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah, 12/783)
Imam
ad-Daruquthni rahimahullah (Wafat: 285H) mengatakan, “Tiada satu hadis
pun yang sahih dalam bab ini.” Iaitu tiada satu hadis pun yang sahih
yang menganjurkan membaca Yasin kepada orang mati.
Begitu juga dengan hadis:
وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ تَبَارَكَ
وَتَعَالَى وَالدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ وَاقْرَءُوهَا عَلَى
مَوْتَاكُمْ
“....Surah
Yasin adalah qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an), tidaklah
seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri
akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu,
bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis
Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni,
al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Masyarakat
Melayu terkenal membacakan Surah Yasin untuk orang mati atau yang
sedang nazak menghadapi sakaratul maut. Tapi ironinya, selama kita
membaca atau menghafal surah Yasin, pernahkah kita memahami dan
menghayati apa yang terkandung di dalam ayat-ayatnya? Bukankah di dalam
Surah Yasin terdapat ayat:
إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌلِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ
“al-Qur’an itu tidak lain, ia adalah peringatan dan kitab yang memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan UNTUK ORANG-ORANG YANG HIDUP dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36: 69-70)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkaitan ayat ini:
أي: لينذر هذا القرآن البيّن كلّ حي على وجه الأرض
“Maksudnya supaya peringatan al-Qur’an ini menjadi bukti yang nyata bagi setiap yang hidup di atas muka bumi ini.” Beliau juga mengatakan:
وإنما ينتفع بنذارته من هو حَيّ القلب، مستنير البصيرة، كما قال قتادة: حي القلب، حي البصر. وقال الضحاك: يعني: عاقلا
“Orang
yang dapat mengambil manfaat peringatan dari al-Qur’an adalah
orang-orang yang hidup hatinya dan yang terang pandangannya. Sebagaimana
kata Qotadah, “Hati yang hidup adalah dengan hidupnya pandangan.” Juga
sebagaimana kata adh-Dhahhak, “Iaitu orang yang berakal.” (Tafsir Ibnu
Katsir, 6/592)
Ini
menegaskan bahawa al-Qur’an ini adalah untuk orang-orang yang hidup,
iaitu untuk orang-orang yang beriman dan mereka yang mahu mengambil
pelajaran. Bukan untuk orang yang telah mati. Termasuklah surah Yasin,
ia pelajaran untuk orang yang hidup.
Sekiranya
setiap surah atau ayat-ayat al-Qur’an tertentu itu mahu dikhususkan
dengan kelebihan-kelebihan khusus, maka kita perlu mengkhususkannya
berdasakan dalil dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Kita tidak boleh menetapkan atau mengkhususkannya dengan akal, sangkaan,
atau hawa nafsu. Kerana agama kita ini tidak sampai kepada kita secara
misteri, sebaliknya datang dengan hujah dan dalil yang jelas.
Walaupun
tiada dalil yang sahih tentang fadhilat Yasin secara khusus, termasuk
fadhilat membacanya pada hari Juma’at, ini bukan bermakna ia tidak boleh
dibaca pada hari Juma’at. Surah Yasin tetap dibaca sebagaimana
surah-surah yang lain juga cuma tidaklah perlu dikhususkan pada
hari-hari tertentu atau dengan kaedah-kaedah khusus tertentu.
Adapun
bacaan Surah secara khusus pada hari Juma’at yang padanya disebutkan
kelebihannya dari sunnah sebenarnya adalah Surah al-Kahfi, namun ianya
sering dilupakan oleh masyarakat kita.Ini sebagaimana Sabda Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ
“Sesiapa
yang membaca surah al-Kahfi pada hari Juma’at, Allah akan meneranginya
dari cahaya di antara dua Juma’at.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i dan
al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Wallahu a’lam...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar